Sifat fizikal dan evolusi Harimau

Di China dan Jawa, telah dijumpai tinggalan seekor kucing seakan-akan harimau, iaitu Panthera palaeosinensis, yang pernah hidup sekitar 2 juta tahun dahulu, ketika bermulanya zaman Pleistosen, tetapi lebih kecil berbanding harimau zaman sekarang. Fosil-fosil harimau sebenar terawal yang dikenal pasti dijumpai di Jawa, berusia antara 1.6 hingga 1.8 juta tahun. Fosil-fosil yang berbeza dari zaman awal dan pertengahan Pleistosen juga ditemui dalam mendapan tanah dari China dan Sumatera. Satu subspesies bernama harimau Trinil (Panthera tigris trinilensis) pernah hidup sekitar 1.2 juta tahun dahulu, dan fosil-fosilnya ditemui di Trinil, Jawa.[12]

Harimau mula menjejak kaki di India dan Asia Utara pada zaman akhir Pleistosen, mencapai Beringia (tetapi tidak benua Amerika), Jepun, dan Sakhalin. Fosil-fosil yang ditemui di Jepun menandakan harimau-harimau tempatan dahulu kala, seperti subspesies yang masih wujud di kepulauan tersebut, adalah lebih kecil berbanding harimau di tanah besar. Ini mungkin disebabkan oleh kaitan saiz badan dengan ruang persekitarannya, ataupun kurangnya bekalan mangsa. Sehingga zaman Holosen, harimau juga berhabitat di Borneo dan juga pulau Palawan di Filipina.[13]

Ciri-ciri fizikal

Harimau Siberia.

Harimau merupakan spesies kucing liar yang paling terkenal (selain singa). Harimau biasanya berbulu kemerahan atau perang berkarat, bulu dadanya berwarna keputihan, "berjambul" putih melilit mukanya, dan belang-belang yang berwarna perang, kelabu atau hitam. Setiap subspesies harimau memiliki bentuk dan kepadatan belang yang berlainan dari subspesies yang lain (di samping juga corak warna bulunya; misalnya, harimau Siberia berwarna lebih pudar berbanding subspesies yang lain). Kebanyakan harimau memiliki lebih 100 batang belang. Setiap harimau memiliki corak belang yang unik kepadanya, oleh itu mungkin ada gunanya untuk mengenal pasti harimau individu, seperti mana cap jari digunakan untuk mengenal pasti orang. Walaupun begitu, ini bukan cara yang biasa digunakan kerana sukarnya merakam corak belang seekor harimau liar. Mungkin sekali belang berfungsi sebagai alat penyamaran untuk membantu harimau menyorokkan diri dalam bayang bertelau-telau dan rumput panjang di persekitarannya, sambil menghendap mangsanya. Apabila bulu harimau dicukur, corak belang yang sama dengan bulunya juga kelihatan. Seperti spesies kucing besar yang lain, terdapat bintik putih di belakang kedua-dua belah telinga harimau.

Rangka harimau.

Harimau juga digeruni sebagai kucing yang paling berat di hutan belantara.[14] Harimau juga memiliki kaki dan bahu yang amat kuat, yang membolehkannya mengheret mangsa yang lebih berat daripada dirinya. Bagaimanapun, setiap subspesies berlainan saiznya dengan satu sama lain, apalagi lebih tinggi latitud habitatnya maka lebih besar subspesiesnya, selaras dengan hukum Bergmann. Maka, harimau Siberia (Panthera tigris altaica) jantan yang lebih besar boleh mencapai kepanjangan 3.5 m "ikut lengkung" (3.3 m. "ukuran lurus") dan berat 306 kilogram,[15] iaitu lebih besar berbanding harimau-harimau yang tinggal di kepulauan seperti harimau Sumatera, iaitu subspesies hidup yang terkecil dengan berat badan setakat 75–140 kg sahaja.[15] Harimau betina lebih kecil berbanding harimau jantan dalam setiap subspesies. Perbezaan saiz antara harimau jantan dan betina lebih ketara dalam subspesies yang lebih besar, iaitu berat harimau jantan bersamaan dengan 1.7 kali berat harimau betina.[16] Selain itu, harimau jantan lebih luas tapak kaki depannya berbanding harimau betina. Perbezaan ini sering digunakan oleh ahli biologi untuk menentukan jantina harimau apabila memerhati kesan tapak kakinya.[17] Tengkorak harimau amat serupa dengan tengkorak singa, cuma bahagian hadapannya tidak begitu tertekan atau rata, dengan kawasan postorbital yang lebih panjang sedikit berbanding tengkorak singa yang lebih lebar lubang hidungnya. Namun begitu, disebabkan perbezaan tengkorak kedua-dua spesies tersebut tidak begitu ketara, spesies pemilik tengkorak biasanya hanya dapat ditentukan melalui struktur rahang bawahnya.[18]

Subspesies

Terdapat enam sub-spesies harimau dalam genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal sembilan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut:-

Masih wujud

  • Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, Harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Rusia. Sub-spesies ini merupakan yang terkuat di antara semua jenis kucing liar di dunia.
  • Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis) - yang terdapat di kawasan Semenanjung Malaysia. Sehingga tahun 2004, harimau Malaya tidak diiktiraf sebagai sub-spesies yang berbeza, sebaliknya dianggap sebagai sub-spesies Harimau Indochina.

Pupus

  • Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
  • Harimau Kaspia atau Harimau Parsi (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950-an. Harimau Kaspia ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afghanistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Rusia.

Kacukan

Pengacukan antara kucing-kucing besar, termasuk sekali harimau, mula-mula dikonsepkan pada abad ke-19, ketika pihak zoo berminat untuk mencari haiwan aneh untuk dipamerkan demi mengaut keuntungan.[19] Adalah diketahui bahawa singa boleh membiak bersama harimau (terutamanya subspesies Amur dan Benggala) untuk melahirkan kacukan yang bergelar liger dan tiglon (atau tigon).[20] Kacukan sebegini pernah sering dibakakan dalam zoo, tetapi kini tidak digalakkan kerana penekanan diberi kepada pemuliharaan spesies dan subspesies. Sungguhpun begitu, kacukan sedemikian masih dibakakan dalam taman haiwan persendirian di China.

Harimau pada lambang negara Malaysia

Liger ialah hasil kacukan singa jantan dengan harimau betina (['lion + tiger] error: {{lang-xx}}: teks mempunyai penanda cacat (bantuan)).[21] Disebabkan singa jantan menurunkan gen penggalak pertumbuhan tanpa dipadani oleh gen pembantut pertumbuhan dari harimau betina, maka liger membesar lebih cepat berbanding kedua-dua induknya, selain mencampuri sifat-sifat fizikal dan tabii dari kedua-dua spesies induknya (bintik dan belang kelihatan pada latar perang muda). Liger yang jantan adalah mandul, tetapi yang betina pula biasanya subur. Liger jantan cuma ada 50% peluang bersurai, jika ya pun, surainya cuma separuh tebalnya berbanding singa sejati. Liger biasanya berukuran antara 10 hingga 12 kaki panjangnya, dan juga boleh mencapai berat antara 800 dan 1,000 paun atau lebih lagi.[21]

Lebih jarang ditemui pula ialah tigon, yang merupakan kacukan antara harimau jantan dan singa betina ([tiger + lion] error: {{lang-xx}}: teks mempunyai penanda italik (bantuan)).[22]

Variasi warna

Harimau putih

Sepasang harimau putih di Taman Haiwan Singapura.

DHasil daripada mutasi, wujudnya harimau putih atau chinchilla albinistic[23] yang jarang ditemui di alam liar, tetapi banyak terdapat dalam zoo. Cubaan membiak baka harimau putih sering mengakibatkan pembiakbakaan dalam (kerana ciri ini adalah resesif). Banyak inisiatif telah diambil untuk mengawankan harimau putih bersama harimau jingga untuk menyelesaikan masalah ini, termasuk mencampurkan subspesies. Pembiakbakaan dalaman sebegini boleh menyebabkan harimau putih mengalami kecacatan fizikal seperti lelangit rekah dan skoliosis (kelengkungan tulang belakang).[24][25] Lebih-lebih lagi, harimau putih cenderung bermata juling (iaitu strabismus). Walaupun kelihatan sihat, hayat harimau putih selalunya tidak sepanjang harimau jingga. Catatan mengenai harimau putih mula-mula dirakamkan pada awal abad ke-19.[26] Harimau putih hanya lahir kepada kedua-dua induk yang membawa gen jarang yang ditemui dalam harimau putih; dihitungkan hanya satu daripada 10,000 kelahiran yang berjaya mewarisi gen ini. Harimau putih ini bukan subspesies yang berasingan, cuma sekadar kelainan warna; memandangkan subspesies Benggala sahajalah yang diperhatikan adanya harimau putih di kalangannya dalam alam liar[27] (di samping semua harimau putih dalam kurungan sekurang-kurangnya berkacukan Benggala), maka adalah sangkaan ramai bahawa gen resesif inilah yang menyebabkan pemutihan ini hanya dibawa oleh harimau Benggala, itupun tidak diketahui sebab-sebabnya.[24][28]

Harimau belang emas

Seekor harimau belang emas/strawberi di Zoo Buffalo.

Selain harimau putih, wujudnya satu lagi jenis gen resesif yang boleh menzahirkan kelainan warna "belang emas" (golden tabby) atau "strawberi" yang luar biasa sekali. Dari segi warna, harimau belang emas berbulu emas muda, berkaki pucat dan berbelang jingga pudar. Bulunya juga lebih tebal dari biasa.[29] Dalam kurungan cuma ada 30 ekor harimau ini. Seperti harimau putih juga, harimau strawberi ini sekurang-kurangnya berkacukan Benggala. Sesetengah harimau belang emas, iaitu harimau heterozigot, membawa gen harimau putih, dan apabila dua ekor harimau sebegini mengawan, maka boleh terlahirnya anak harimau putih tanpa belang. Kedua-dua harimau putih dan belang emas selalunya lebih besar berbanding harimau Benggala yang biasa.